JOHOR BAHRU: Johor memperuntukkan sebanyak RM63.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kerja-kerja baik pulih itu melibatkan pembaikan bumbung, cat baharu dan sebagainya di 13 PPR serta tujuh RSK dengan 14,500 penghuni.

"Macam di RSK Cendana yang berusia lebih kurang 36 tahun ini yang melibatkan 1,500 unit dengan 20 blok, kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2023 telah memperuntukkan RM9.9 juta bagi kerja-kerja membaiki bumbung dan cat baharu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Pemerkasaan Komuniti RSK dan Wakaf Tani Komuniti di RSK Taman Cendana Dua di sini hari ini.

Mohd Jafni turut memaklumkan cadangan pembinaan PPR Larkin di sini, telah diluluskan pada tahun ini.

"Kita juga ada enam PPR baharu lain seperti di Ulu Tiram, Permas, dua projek di Pengerang, di Tenggara dan Sembrong," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Jafni berkata pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 2,000 penyewa RSK di negeri ini yang menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga.

Beliau berkata proses mengenal pasti kini pada tahap 80 peratus melibatkan siasatan terhadap 14,500 penghuni RSK.

"Siasatan terhadap isu itu telah dijalankan sejak 2022, selepas menerima banyak aduan berkaitan kegiatan sewa atas sewa dalam kalangan penyewa RSK Johor. Penyewa tidak bertanggungjawab itu juga mengenakan kadar sewaan dua hingga tiga kali ganda daripada kadar kebiasaan, iaitu RM200 hingga RM300 sebulan.

"... ini tidak betul, PPR dan RSK untuk golongan B40 ke bawah. Tidak sepatutnya disewakan kepada orang lain dan tindakan pembatalan perjanjian asal akan dilakukan. Unit berkenaan akan diberikan kepada penyewa sedia ada dengan syarat mereka menepati kriteria dan gaji mereka pendapatan isi rumah sekeluarga maksimum RM3,000," katanya.

--BERNAMA